Bekas pekerja DEDAH siapa sebenarnya Tommy Thomas buatkan semua Kagum

SHAH ALAM – Seorang bekas pekerja di firma guaman Tommy Thomas berkongsi cerita bagi mendedahkan siapa sebenarnya individu yang baharu dilantik sebagai Peguam Negara itu.

Ashikin Rahim yang berkongsi di laman Facebooknya berkata, perkongsian cerita itu dibuat kerana mahu menceritakan siapa sebenarnya TT, gelaran yang diberikan kepada Thomas, berbanding menilainya berdasarkan agama atau penulisan yang dianggap berat sebelah sebelum ini.

Memulakan cerita, Ashikin berkata, dia menyertai firma guaman pada 2009 dan ketika itu dia tidak tahu firma tersebut milik Thomas.

Image result for tommy thomas

“Saya ingatkan dia Cina. Jadi anda dapat bayangkan macam mana saya terkejut ketika melangkah masuk ke bilik mesyuarat.

“Saya memohon kerja sebab kebanyakan senior saya beritahu bahawa dia merupakan pengamal litigasi terbaik dalam negara. Jadi bermula daripada itu saya bersemangat untuk litigasi ini,” tulisnya hari ini.

Menurutnya, ketegasan Thomas dapat dilihat di mana beliau tidak akan membiarkan telefonnya berbunyi tiga kali dan beliau akan sentiasa memberi perkembangan kepada pelanggan sebelum kes mahkamah dijadualkan.

Katanya, Thomas juga merupakan seorang yang tegas, berprinsip, menepati masa, pemurah dan sentiasa mengambil berat terhadap pekerja bawahannya.

“Secara peribadi beliau merupakan bos terbaik sepanjang saya bekerja di lima firma guaman sebelum itu. Dia tidak hirau mengeluarkan duit buat pekerjanya. Dia selalu beli makanan buat kami di tempat mahal. Membawa kami bercuti dan memberikan wang saku, duit raya dan duit dapat anak.

“Saya juga dapat duit untuk majlis perkahwinan. Dapat bonus di tahun terakhir walaupun saya akan berhenti pada April untuk memberi tumpuan kepada bayi yang baru lahir,” katanya.

Ashikin berkata, Thomas bukanlah seorang peguam yang mengejar keuntungan dan kemasyhuran semata-mata malah beliau juga sanggup ‘kutip’ kes yang tidak mendatangkan keuntungan selain mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai anak guamnya.

“Apa yang paling penting ialah, dia pasti memberi perhatian berat kepada litigasi kepentingan awam. Saya banyak ditugaskan untuk kes seperti itu. Kami buatnya secara percuma.

“Kami berjuang untuk hak persatuan penduduk, negeri yang dipimpin kerajaan pembangkang (sebelum ini) dan orang miskin yang tertindas oleh keputusan kerajaan, orang miskin yang tertipu dalam pelaburan. TT memberitahu seseorang perlu berjuang untuk semua itu,” katanya.

Image result for tommy thomas

Jadi menurutnya, dia mengerti mengapa bekas majikannya itu dipilih menjadi Peguam Negara oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, orang ramai tidak perlu khuatir dengan pelantikan Thomas ini kerana tidak akan ada apa-apa yang terjejas terutamanya berkaitan Islam di negara ini.

“Dalam hal ini, sudah pasti Peguam Negara akan terlibat dalam merangka segala undang-undang, tetapi peranannya terhad kerana undang-undang di negara ini mempunyai unit khas untuk menggubal Undang-Undang Syariah. Maka itu, beliau tidak mengawal undang-undang Islam di negara ini.

“Bagi permasalahan yang tidak biasa diuruskannya, terdapat ramai pakar dalam Pejabat Peguam Negara yang boleh menasihatkannya. Bukan semua orang tahu semua benda. Bukan sahaja kita. Perdana Menteri juga begitu,” katanya.

Menurutnya, pada ketika ini orang ramai tidak harus mempertikaikan terhadap apa yang sudah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, memperkenankan pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara

“Jadi sejak kita tidak boleh membuat apa-apa yang sudah diputuskan oleh Istana, mari kita terimanya dengan persefahaman dan minda terbuka. Mengapa cuba menimbulkan huru-hara terhadap sesuatu yang belum terbukti akan berlaku.

“Untuk orang Islam, ingatlah, semuanya adalah ketentuan ALLAH. Mari menjaga keamanan negara bersama-sama,” katanya.

Versi asal Dari penulis : https://www.facebook.com/nurashikin.abdulrahim/posts/10215654324289643

[Atas permintaan, telah diterjemah dari post asal bertarikh 5 Jun 2018, boleh rujuk di https://www.facebook.com/nurashikin.abdulrahim/posts/10215641740535057]

Ini gambar lama. Saya sudah tidak bekerja dengan firma ini sejak bulan April tahun 2013. Saya ingin berkongsi sesuatu tentang pandangan peribadi saya berkenaan insan di tengah2 gambar tersebut (Mr. Tommy Thomas).

Saya bangun pagi ini (5 Jun 2018) dan mendapati sudah ada berita pada jam 4 pagi bahawa pelantikan beliau sudah diperkenan oleh pihak Istana. Oleh itu, walaupun saya ada pendirian sendiri berkenaan pencalonan beliau, pandangan saya sudah tidak relevan lagi. Sebab, Istana sudah pun membuat keputusan dan kita sebagai rakyat hendaklah menghormati keputusan tersebut, bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam negara. Bukannya kita boleh ubah keputusan yang sudah dibuat pun, jadi, sekurang-kurangnya, janganlah memulakan kebencian berdasarkan kaum atau agama. Kita semua kan rakyat Malaysia.

Jadi saya membuat keputusan untuk bercerita dari sudut pengalaman peribadi, dengan harapan kita semua boleh lebih mengenali beliau secara peribadi, daripada kita menghukum beliau hanya semata-mata kerana bangsa atau agama yang beliau anuti, dan jangan juga menghukum berdasarkan penulisan berat sebelah berkenaan sejarah lampau beliau.

Saya menyertai firma beliau pada tahun 2009. pada masa itu, saya tak kenal siapa beliau, saya sangkakan beliau seorang berbangsa Cina. Bayangkanlah betapa terkejutnya saya bila masuk ke bilik mesyuarat untuk ditemuduga beliau.

Saya memohon kerja dengan firma beliau bukan kerana saya mengenali firma tersebut sebelum itu. saya memohon kerana hampir semua peguam senior yang saya jumpa akan memberitahu saya bahawa beliau adalah peguam litigasi yang terbaik dalam negara, jadi memandangkan saya bersemangat untuk menceburi bidang litigasi (turun naik Mahkamah), saya sepatutnya memohon untuk menyertai firma TT (itulah panggilan kami untuk beliau dalam firma itu). Jadi saya pun memohon kerja di sana.

Dia adalah orang paling tegas pernah saya kenal. Dia juga seorang yang sangat berprinsip, dia tidak akan memaafkan perbuatan tidak berdisiplin. Dia sangat menepati masa, saya ingat betapa saya berasa panik setiap kali sampai ke Mahkamah selepas jam 8.30 pagi (walaupun kes hanya akan bermula jam 9.00 pagi). sebab saya tahu, TT akan berada di sana jam 8 atau 8.15 pagi. Tapi tentulah membantu kalau kita pun pakai kereta porsche.

Dia tak pernah biarkan telefon di firma kami berdering lebih 3 kali, dan dia akan sentiasa dengan pantas memaklumkan anakguam akan perkembangan kes sebelum dan selepas sesuatu tarikh mahkamah. Jadi anakguam selalu berpuas hati kerana dia sentiasa memberi makluman terkini kepada mereka.

Tapi tentulah saya kena bersabar dengan semua teguran marah beliau, sebab saya ni lambat belajar (berbanding semua peguam lain dalam firma itu, sebab mereka ni, kecuali saya, adalah seperti orang genius). Tapi semua teguran TT membuatkan saya menjadi lebih berani. saya belajar untuk menerima apabila orang menaikkan suara terhadap saya, saya tidak mengambil hati dengan setiap teguran TT sebab semuanya berkenaan kerja, dan tujuan teguran adalah untuk menjadikan saya lebih baik. Sehingga ke hari ini, saya masih ingat hampir setiap teguran yang saya terima dari TT, sebab mesti dia akan buat muka kelakar setiap kali dia marah saya.

Dia mengizinkan saya mengendalikan kes di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, malah Mahkamah Persekutuan (iaitu mahkamah tertinggi negara). Saya masih ingat rasa gementar amat sangat, malah lebih lagi berbanding gementar sebelum melahirkan anak, tapi saya terima cabaran itu. Dan Alhamdulillah, saya rasa saya menjadi peguam yang lebih baik setiap hari, saya belajar bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan lebih lancar sebab saya perlu mencabar diri saya supaya menjadi setanding dengan peguam-peguam lain dalam firma itu (saya cubalah, mungkin tak berjaya juga jadi sebaik mereka ). TT mengajar saya dengan cara yang sukar pada saya, tetapi itulah cara yang terbaik.

Secara peribadi, saya merasakan dialah antara bos terbaik yang saya pernah memberikan khidmat (saya pernah buat attachments di lebih 5 firma lain sebelum itu). Dia (dan juga rakankongsi lain dalam firma itu yang kami semua sanjungi) tidak kisah untuk membelanjakan wang untuk staf bawahan, selalu belanja kami makan di tempat mahal, bawa kami bercuti malah beri duit poket, beri kami duit raya, malah dapat anak pun diberi duit. Bos-bos kami memang menjaga kami dengan baik, sebab itu, sangat sedikit pekerja firma itu yang berhenti, ramai di kalangan kami yang sudah bekerja dengan firma itu melebihi 10 tahun, yang lebih lama dari itu juga ada. Kami sangat gembira bekerja bersama. Malah, saya juga diberi suatu cek yang besar jumlahnya sebagai hadiah perkahwinan saya, dan bos-bos semuanya datang dari jauh untuk menghadiri perkahwinan saya di Kuantan. Sayang mereka . Malah, sekalipun saya berhenti kerja pada bulan April 2013, mereka masih beri saya bonus untuk tahun itu, manalah pernah dengar majikan lain buat begitu, kan? (saya tidak bekerja selama setahun untuk memberi perhatian pada anak sulung saya yang masih kecil).

Apa yang lebih penting adalah, TT mengambil berat akan kes-kes kepentingan awam “public interest litigation” (PIL). Saya telah ditugaskan untuk mengendalikan banyak kes PIL, kami menjalankan kes-kes ini secara probono (percuma). pada masa itu (sehingga sekarang pun) kami berjuang untuk hak-hak persatuan penduduk, untuk negeri2 yang diperintah oleh pembangkang (pada masa itu) (negeri2 di bawah PAS pun kami ada wakili tau), kami wakili orang-orang tidak berkemampuan yang tidak berpuas hati dengan apa2 keputusan kerajaan yang menjejaskan mereka, kami mewakili orang2 susah yang ditipu dalam pelaburan, dan banyak lagi. TT pernah kata kepada saya, perlu ada orang yang berjuang untuk semua golongan ini, sekalipun sejak awal lagi, kami dah tahu yang kami takkan menang kes-kes sebegini. Tapi tetap kami berjuang dan firma TT tanggung semua kos untuk kes-kes probono tersebut.

Dan semestinya, TT sangat arif dengan Perlembagaan Persekutuan. Dia baca SETIAP jilid Malayan Law Journal dan All England Reports tau (buku-buku ini adalah kompilasi kes-kes setiap tahun, dan ada beratus-ratus jilid, mungkin juga lebih ), dan TT akan tulis dalam buku nota kecil beliau semua nota berkenaan kes-kes penting. Tiada orang lain yang saya kenal yang pernah buat seperti TT. Sebab tu lah, memang takkan boleh nak perdaya TT dalam Mahkamah, dia tahu undang-undang dengan terlalu baik, dia arif kedua-dua perundangan Malaysia dan England (Malaysia masih menggunapakai undang-undang England untuk sesetengah kes).

Perpustakaan di rumahnya sebesar macam perpustakaan negeri mini. Serius, dia memang seorang pembaca yang tekun. Sebab tu lah penulisannya hebat. Memang akan terserlah dalam penulisan seseorang sekiranya orang itu suka membaca. Setiap hari saya mengimpikan nak mendapat minat sebegitu mendalam untuk membaca sepertimana TT, tapi sampai sekarang saya masih belum dapat lagi capai tahap minat sebegitu

Jadi jika anda tanya saya samaada dia ni peguam yang baik? saya akan jawab, dialah peguam yang terbaik yang saya kenal. Adakah dia peguam yang jujur? Saya jawab, dialah lelaki yang paling boleh dipercayai, dia tak pernah menipu di Mahkamah, malah sekalipun jika ada kes yang tidak berpihak kepada beliau, beliau masih akan merujuk kepada kes tersebut di hadapan Hakim sekiranya kes itu adalah undang-undang yang terpakai.

Atas sebab-sebab di ataslah, saya faham kenapa PH pilih dia.

Wahai rakyat, tugas menggubal undang-undang Islam adalah hak negeri (melainkan negeri2 yang tidak beraja), dan untuk negeri-negeri yang tak beraja sekalipun, Parlimen akan gubal undang-undang berkenaan Islam. Sekalipun Jabatan Peguam Negara akan terlibat untuk mendraf rang undang-undang, mereka ada unit khas berkenaan undang-undang syariah dalam Jabatan Peguam Negara. Jadi, TT seorang tidak mengawal undang-undang Islam dalam negara, dia hanyalah seorang individu.

Untuk perkara-perkara yang di luar kepakaran beliau, ada pakar-pakar dalam Jabatan Peguam Negara (dan dari luar) yang boleh membantu beliau. Bukan semua orang tahu semua benda, kita sendiri pun banyak benda yang kita tak tahu. Malah, PM pun tak tahu semua benda kan.

Jadi, memandangkan kita tak boleh pun nak ubah apa yang dah diluluskan oleh pihak Istana, hiduplah dengan kenyataan ini, dengan pemahaman yang jelas dan pandangan yang positif. Kenapa perlu timbulkan huru-hara berdasarkan anggapan yang tak dibuktikan akan berlaku, entah2, TT berjaya bawa perubahan yang banyak sehinggakan kita sendiri nak dia lanjutkan tempoh perkhidmatan. Siapa tahu kan.

Untuk rakan-rakan seagama Islam, kita ingatlah, semuanya ketentuan Allah. Jom kita sama-sama usaha kekalkan negara yang aman.

(Terima kasih kerana membaca, semua. Untuk orang-orang yang suka membetulkan tatabahasa (grammar nazis) boleh je PM saya, dan saya akan betulkan kesalahan tatabahasa yang ada )

Kredit: Ashikin Rahim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *