Inilah Sebab Kenapa Rafidah Bantu Tun Mahathir!!!

WAWANCARA | Dalam pandangannya tentang kembalinya bekas pemimpin dalam politik untuk ‘menyelamatkan negara’, Tan Sri Rafidah Aziz berpandukan formula nisbah 80:20.

“80 bagus dan 20 tidak bagus. Dengan 20 yang tidak bagus, kita sentiasa boleh cuba melihat sebab di sebaliknya.

“Jika 20 sahaja bagus dan 80 lagi tidak bagus, maaflah, itu tidak boleh diselamatkan lagi,” katanya ketika ditanya tentang kekuatan dan kelemahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rafidah lama bekerja dengan Mahathir ketika pertama kali sebagai perdana menteri, sebagai Menteri Perusahaan Awam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Saya tahu dia hanya manusia biasa, tetapi aspek yang baik lebih banyak (berbanding aspek buruk).

“…Sebab itu saya kembali untuk membantunya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.

Selain Rafidah, seorang lagi veteran Umno yang kembali membantu Mahathir adalah Tun Daim Zainuddin.

Kedua-duanya berkempan untuk HARAPAN. Daim kemudian dilantik menjadi pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Pelantikan itu menimbulkan keraguan daripada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan komitmen bekas Menteri Kewangan itu terhadap aspek kebertanggungjawaban.

Rafidah berkata formula 80:20 turut terpakai kepada Daim.

“Jika anda bermula dengan sikap negatif dan ragu, anda tidak akan ke mana-mana. Inilah masalah manusia, kita tidak lihat hal yang positif dahulu.

“Perlu ada justifikasi terhadap keraguan anda. Jika apa yang mereka lakukan adalah 80:20 bagus untuk negara, maka biarkan.

“…Anda perlu ketepikan penilaian subjektif anda, dan lihat pencapaian (dan) niat dan motivasi di sebaliknya.

“Jika motivasi itu betul, ia akan ke landasan yang betul…Kita semua cuba untuk membantu, mengapa anda sebut Daim?” soalnya.

Sama seperti Daim, katanya, formula 80:20 itu juga terpakai kepada Anwar.

“Kepada semua, termasuk Malaysiakini,” katanya lagi.

Sebab Ops Lalang

Pentadbiran pertama Mahathir dikritik atas tekanannya terhadap hak asasi manusia, antara contoh yang sering dibangkitkan adalah Operasi Lalang pada 1987.

Dikatakan untuk mengelakkan berlakunya kekacauan perkauman, operasi itu menahan sejumlah 106 dari kalangan aktivis, ahli akademik dan ahli politik pembangkang bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Kerajaan juga menarik semula lesen tiga akhbar.

Ditanya tentang perkara itu, Rafidah – menteri kabinet ketika itu – berkata Mahathir perlu melakukan apa yang perlu pada masa itu.

“Perkara termudah adalah menuduh. Anda duduk di kerusi (dan mengkritik), itu perkara terburuk. Anda mungkin tidak tahu perkara di sebaliknya, anda mungkin tidak faham.

“Saya tidak tahu sama ada ia dapat dijustifikasikan atau tidak, dia (Mahathir) mungkin ada sebab sendiri.

“Anda boleh imbas kembali semua perdana menteri – Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn – setiapnya ada sebab atas tindakan mereka, (berdasarkan) keadaan pada masa itu,” katanya, mempertahankan skrip rasmi operasi itu iaitu menghalang berulangnya rusuhan 13 Mei.

Adakah Malaysia mampu bergerak ke depan, meninggalkan momokan 13 Mei 1969?

“Jika anda tidak menyekat unsur yang boleh menyebabkan xenofobia ekstrem, kita akan berdepan masalah.

“Saya sudah terlibat dalam politik ketika 13 Mei berlaku, ia sesuatu yang tak disangka. Tentulah bagi anda semua, 13 Mei hanyalah satu bab dalam buku sejarah. (Tetapi) kami berdepan dengannya.

“…Kita mesti faham sebagai rakyat Malaysia, tiada ruang untuk mencetuskan perseteruan perkauman atau xenofobia,” kata Rafidah lagi

sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *