“NAFKAH BATIN UNTUK CERIAKAN ISTERI, TAPI RAMAI SUAMI INGAT SEBAB NAK BUKTIKAN DIA KUAT”

Pendidikan agama sangat relevan diserapkan dalam pemikiran anak-anak sejak usia muda supaya mereka faham bahawa keganasan seksual itu tidak betul. Dan bukannya membebani mereka dengan ilmu keduniaan.

Ustaz Kazim Elias, penceramah bebas dari Pusat Pendidikan Al Barakah yang terkenal dengan rancangan kelolaannya iaitu Kalau Dah Jodoh… menegaskan; hubungan pasangan suami isteri perlu berlandaskan agama dan peraturan (antara pasangan) untuk menghindari berlakunya keganasan seksual. Berdasarkan ayat Al-Quran yang bermaksud, “Mereka (para isteri) adalah sebagai pakaian bagi kamu dan demikian sebaliknya kamu juga ibarat pakaian bagi mereka…” (Surah Al Baqarah, ayat 187)

“Justeru, pakaian perlulah bersih, dibasuh, digosok dan kalau butangnya tertanggal digantilah dengan butang yang baru. Biar nampak molek di pandangan mata. Dikiaskan dalam rumahtangga, hubungan intim itu perlu berlandaskan kasih sayang. Kalau rosak maka hubungan itu tidak ceria, tidak bahagia,” ujarnya.

Selain itu, firman Alah SWT yang bermaksud, “Isteri-isteri kamu adalah ladang bagi kamu dan datanglah kepada ladang kamu mengikut yang kamu suka dan kehendaki…” (Surah Al Baqarah, ayat 223). Dan menurut Ibnu Jairi At Tabari, ‘ladang’ bermaksud tempat menanam benih. Sementara maksud perkataan ‘datangilah mengikut yang kamu kehendaki’ ialah boleh melakukan persetubuhan dengan isteri dalam pelbagai cara, teknik dan posisi yang sesuai asalkan melalui kemaluannya (kemaluan isteri) dan tidak melalui duburnya!

Kesimpulan daripada kalimat-kalimat kinayah dalam ayat tersebut mempunyai dua pengertian: (1) Boleh bersetubuh dengan isteri pada bila-bila masa setiap kali timbulnya nafsu dan keinginan seks terhadap isteri (kecuali isteri dalam keadaan haid, nifas, puasa di bulan Ramadan dan sebagainya iaitu masa yang dilarang oleh syariat untuk bersetubuh); (2) Boleh bersetubuh dengan pelbagai cara dan teknik yang dikehendaki mengikut penyesuaian diri masing-masing (kecuali dubur).

“Justeru, datangilah isteri kamu mengikut yang kamu suka selagi mana dihalalkan oleh syarak. Namun jangan hampiri isteri ketika haid. Tidak boleh bersetubuh dalam keadaan haid. Itu haram hukumnya. Rasulullah juga pernah berpesan, jangan menggauli isteri dalam keadaan dia tidak sihat atau penat. Elakkan memukul isteri pada siang hari, tetapi mahu berhubungan intim dengannya pada malam hari. Ini kerana sebagai suami, dia perlu melayan isteri dengan penuh kebaikan.”

“Nafkah batin itu adalah sesuatu perkara yang dilakukan untuk menggembirakan hati isteri. Tetapi kebanyakan suami zaman sekarang ingat seks itu sebagai satu cara untuk membuktikan dirinya ‘kuat’. Sehingga ada yang mengambil ‘ubat kuat’ ataupun memasang peralatan pada ‘anunya’ bagi membuktikan kehebatannya di kamar tidur, sekali gus meningkatkan lagi syahwat agar hubungan intim menjadi lebih menyeronokkan. Akibatnya isteri yang menanggung sakit. Jika mendatangkan kesakitan, si isteri janganlah ‘kunci mulut’ mendiamkan diri. Segera minta bantuan agar keganasan seksual dapat dibendung.”

 

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *