Orang Kelantan Kawan Atau Lawan Bagi Orang Selangor

Tujuh tahun saya tidak melawat Kota Bharu, Kelantan. Pada 24 Ogos lalu saya berkesempatan mengunjungi negeri Cik Siti Wan Kembang. Itupun atas undangan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan yang menganjurkan kursus penulisan.

Saya jangkakan pukul 4 petang hari Ahad, suasana di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu meriah dengan tawar-menawar antara pembeli dengan peniaga. Hairan saya melihat keadaan yang sunyi dan sepi. Selain saya, ada dua tiga orang berjalan mengelilingi ruang kedai di bazar yang terkenal dengan kain batik itu.

Sekitar jalan raya di Bandar Raya Islam itu juga kurang sesak. Silap juga jangkaan saya, kerana Ahad ialah hari bekerja di Kelantan. Mungkin beginilah biasanya suasana hari Ahad di Kota Bharu kecuali pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Image result for bendera kelantan

 

Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung Julai lalu, bukan main sesak bandar Melayu ini. Maklumlah beribu-ribu kenderaan anak perantauan pulang serentak untuk sambut hari raya. Pada musim cuti sekolah juga tak menang tangan peniaga hendak melayan pelanggan yang berduyun-duyun datang ke kedai mereka.

Habis hari raya dan musim cuti sekolah, Kota Bharu kembali seperti biasa – tenang dan aman. Tidak banyak pembaharuan yang dapat saya kesan kecuali kemunculan destinasi beli-belah ala pasar malam di Wakaf Che Yeh.

Orang Kelantan memang terkenal dengan semangat niaga. Mereka tak kisah bilangan pelanggan yang tidak memberangsangkan. Mereka ada strategi perniagaan dan rangkaian pemasaran tersendiri. Mereka juga tidak kisah sama ada bandar Kota Bharu maju atau berada di takuk lama. Tikah ambil peduli kemunculan bangunan pencakar langit yang baharu atau tidak.

Berjalan-jalanlah di sekitar bandar itu, pasti dapat dikesan – tak banyak perubahan sejak Pas memerintah negeri itu pada 1990 hingga sekarang. Maknanya 24 tahun Pas mentadbir Kelantan tak banyak perubahan. Dari sudut pembangunan ekonomi, tak banyak yang boleh dibanggakan.

Hakikatnya, walaupun pelbagai strategi pihak UMNO hendak menawan kembali Kelantan, namun masih tidak kesampaian. Orang Kelantan yang tinggal di negeri ini masih banyak yang menyokong Pas. Kedudukan ini dibantu dengan kepulangan perantau yang pasti akan menyokong Pas apabila tiba pilihan raya.

Bertebaran

Golongan tegar penyokong Pas ini banyak bekerja sendiri, jadi mereka tak terlalu bergantung kepada orang UMNO. Apa yang diperkatakan tentang keburukan dan kelemahan pentadbiran Pas sedikit pun tak mengubah pendirian mereka. Mereka utamakan pemimpin yang dekat dengan agama dan tidak menyelewengkan kuasa.

Image result for bendera selangor

 

Orang Kelantan bertebaran di seluruh tanah air. Kelompok mereka ramai dan hebat. Semangat kenegerian pun kuat. Mereka ada dalam semua kawasan perniagaan, ada dalam semua kementerian dan jabatan kerajaan.

Semangat bersatu padu orang Kelantan sukar dilihat pada mana-mana rakyat negeri lain. Sebab itu apa yang sedang berlaku di Selangor adalah akibat kurangnya bersatu padu orang Selangor sendiri. Tak kiralah mereka itu Melayu, Jawa, Banjar, Minang, Cina atau India.

Di Kelantan, amat jarang-jarang dapat dilihat orang Selangor dapat menjadi calon dalam pilihan raya baik peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen. Tapi di Selangor, orang Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Singapura atau mana-mana negeri pun boleh menjadi calon.

Orang Selangor terbuka. Mereka menerima tetamu dari negeri lain yang ingin sama-sama memajukan negeri ini.

Sekarang pun semakin banyak tetamu yang bermastautin dan membeli hartanah di Selangor. Orang politik dan pemastautin dari negeri luar Selangor ini sudah menjadi faktor penentu politik negeri termaju di Malaysia ini.

Pengaruh politik Pas terhadap orang Selangor pun kian kuat. Orang Selangor bagaikan tak dapat menyekatkan lagi gelombang ‘orang luar’ daripada menguasai pentadbiran negeri ini.

Alangkah baiknya jika orang Selangor punya semangat seperti orang Kelantan, umpamanya orang luar tidak akan dapat membeli tanah di sana. Tidak akan dapat juga jadi calon. Dan tidak ada pengaruh untuk berangan-angan jadi pemimpin negeri.

Kemunculan bandar-bandar baharu di sekitar Kuala Lumpur seperti Gombak, Kajang, Puchong, Subang, Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi dan Klang sedikit sebanyak mengubah geopolitik kawasan berkenaan. Orang luar Selangor sudah banyak mencorakkan politik di kawasan tersebut. Maka anak jati Selangor bagaikan tidak terdaya untuk menghalang kuasa politik orang luar daripada mengawal tampuk kuasa kerajaan negeri.

Yang masih dalam kawalan anak jati Selangor hanyalah di kawasan Sabak Bernam, Tanjung Karang, Kuala Selangor, dan Hulu Selangor. Jika direnungkan semula, beruntungkah orang Kelantan atau rugikah anak jati Selangor?

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140831/re_09/Orang-Kelantan-orang-Selangor#ixzz57eYftQYE
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *