“SAYA PENYABAR TAPI JANGAN MELAMPAUI BATAS”-‘ NAJIB

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mungkin dipuji oleh ramai orang kerana kesabaran beliau, satu sifat yang beliau sendiri akui dimilikinya.

Tetapi di bawah semua kesabaran dan sifat toleransi yang dikatakan itu, Najib mengakui bahawa beliau juga ada hadnya dan akan bertindak kalau ia melampaui batas.

Bercakap di majlis memperingati 40 tahun penglibatan beliau dalam politik, Najib menjelaskan bahawa keupayaannya untuk meneruskan kerjanya dalam politik mungkin disebabkan oleh sifat kesabarannya.“Tetapi saya nak bagitau, saya penyabar tetapi ada had juga.

“Jangan fikir boleh buat sesuka hati. Jangan fikir saya tak akan bertindak kalau melampaui batas,” katanya di majlis itu anjuran Kelab Sahabat Najib Razak (N87).

Najib menegaskan bahawa apabila beliau bertindak, “ia mestilah berdasarkan kepada fakta, parti dan kerajaan”.Walaupun tidak menyebut sebarang nama, tetapi beliau dengan jelas merujuk kepada pengkritiknya dalam Umno.

Selepas kritikan semakin meningkat terhadap pengendalian Najib dalam krisis 1MDB, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal telah dipecat daripada jawatan masing-masing pada tahun lepas.

Manakala bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga disingkirkan daripada jawatannya sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri kerana kritikan yang sama terhadap Najib.

Manakala Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM), pula sedang menunggu tindakan disiplin daripada parti kerana mendesak pengunduran Najib.

Sementara itu, Najib berkata kalau hendak menegur, ada tempat dan caranya untuk berbuat demikian.“Jangan tegur merosakkan parti. Dah lah cukup dengan musuh di luar.“Jangan pula ada musuh dalam selimut, musuh dalam seluar lagi teruk,” katanya.

Najib juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah cuba untuk “menjatuhkan” sesiapa semasa pemilihan parti.“Bila ada kekosongan baru tawarkan diri untuk bertanding.”

Najib juga berkata bahawa beliau tidak pernah membeli undi untuk mendapatkan sokongan ahli parti.“Kalau tak percaya, tanyalah (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau adalah setiausaha politik saya pada tahun 1986,” kata Najib.

Mengambil contoh pemilihan parti pada tahun 1993, Najib berkata terdapat mereka dari pasukan Wawasan yang cuba untuk berbuat demikian dan pada hari ini cuba menunjukkan “moral yang tinggi”.Katanya, beliau diberitahu oleh Allahyarham Datuk Jamaluddin Jarjis mengenai apa yang berlaku.

“Saya punya jawapan, Allahyarham Tun Abdul Razak bina parti Umno, saya takkan jadi anak yang merosakkan parti,” katanya.

Team Wawasan diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi jawatan timbalan presiden tanpa bertanding.

Pasukan itu juga terdiri daripada Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib. Ketiga-tiga mereka kemudiannya memenangi jawatan naib presiden parti. – Mkini

Akhirnya LHDN buka kertas siasatan untuk RM 2.6b yang diterima Najib

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini menjalankan siasatan semula berhubung wang RM2.6 bilion yang diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata ia susulan pendedahan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull dan siasatan yang sedang dijalankan berhubung semua isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Susulan pendedahan dan siasatan berkaitan 1MDB, kedudukan cukai bagi RM2.6 bilion yang diputuskan pada 16 Februari 2016 kini tertakhluk untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pada 16 Februari 2016, LHDN yang ditugaskan untuk menyiasat RM2.6 bilion mendapati, jumlah yang diterima itu adalah bayaran derma dan bersifat sukarela, justeru, ia bukan bercirikan pendapatan.

Katanya, mengikut prinsip am percukaian berhubung pembayaran secara sukarela seumpama itu, ia bukan pendapatan yang tertakluk untuk dicukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pembayaran secara sukarela mungkin berubah cirinya dan tertakluk dicukai jika ia diberikan secara berulang kali, sebagai pertimbangan bagi perkhidmatan diberikan, sebagai balasan bagi sebarang faedah dalam apa-apa bentuk atau jumlah digunakan dalam kegiatan perniagaan bagi membolehkan operasi perniagaan diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan perkembangan terbaru berhubung RM2.6 bilion diterima bekas Perdana Menteri, serta wang tunai dan barangan berharga lain yang dirampas dari kediamannya dan premis lain, baru-baru ini.

Sabin berkata, dalam proses menentukan punca sebenar pembayaran itu, LHDN akan bekerjasama rapat dengan semua agensi dan pasukan petugas khas yang terbabit dalam siasatan 1MDB.

Berhubung rampasan wang tunai dan barangan berharga lain daripada kediaman Najib serta premis lain, Sabin berkata, satu notis di bawah Seksyen 78 dan 79 Akta Cukai Pendapatan 1967 akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah LHDN kepada individu yang ada kaitan dengan barangan rampasan itu.

Beliau berkata, notis itu bertujuan memastikan sama ada pendedahan mengenai pendapatan itu kepada LHDN, sepadan dengan pemilikan aset (wang tunai dan barangan berharga) oleh individu tertentu.

“Dalam keadaan kekayaan itu tidak dapat dijelaskan, cukai tambahan akan dikenakan bersama-sama dengan penalti maksimum iaitu amaun berganda bagi terkurang cukai.

“Kegagalan seseorang untuk mematuhi notis dalam tempoh ditetapkan adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya. – BERNAMA

sumber: matbawang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *