Starbuck Perlu letak Amaran Barah pada kopi

CALIFORNIA: Hakim Los Angeles mengarahkan Starbucks Corp dan peniaga kopi lain meletakkan amaran barah pada minuman itu yang dijual di California, kemungkinan mendedahkan banyak syarikat kepada denda bernilai jutaan dolar.

Kumpulan tidak berasaskan keuntungan kurang dikenali memfailkan saman terhadap kira-kira 90 peruncit kopi, termasuk Starbucks, berdasarkan pelanggaran undang-undang California yang mewajibkan syarikat memberi amaran kepada pengguna mengenai bahan kimia dalam produk mereka yang boleh menyebabkan barah.

Salah satu kimia berkenaan adalah acrylamide, hasil sampingan biji kopi panggang yang ditemui pada kadar tinggi dalam minuman itu.

Hakim Mahkamah Agung Los Angeles, Elihu Berle, berkata dalam arahan yang dikeluarkan kelmarin bahawa Starbucks dan syarikat lain gagal menunjukkan tiada risiko daripada karsinogen yang dihasilkan dalam proses memanggang kopi, menurut dokumen mahkamah.

Dalam keputusannya, Berle berkata: “Defendan gagal mengemukakan bukti bahawa pengambilan kopi memberi manfaat kepada kesihatan manusia.”

Starbucks dan defendan lain mempunyai masa sehingga 10 April ini untuk memfailkan bantahan kepada keputusan itu.

Starbucks enggan memberi sebarang ulasan, merujuk wartawan kepada kenyataan oleh Persatuan Kopi Kebangsaan (NCA) yang berkata industri berkenaan mempertimbangkan rayuan dan tindakan undang-undang seterusnya. -Reuters

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *